Kempen Derma Darah Ke-15 anjuran 99 Speed Mart yang berlangsung di empat lokasi iaitu Melaka, Selangor, Perlis dan Sabah telah berjaya mencapai sasaran dengan mengumpulkan sebanyak 1,010 beg darah, hasil sokongan dan keprihatinan masyarakat dalam membantu memastikan bekalan darah negara sentiasa mencukupi.
Kempen ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan 99 Speed Mart dalam menyokong usaha meningkatkan bekalan darah negara menerusi kerjasama strategik bersama Yayasan Toh Puan Zurina (YTPZ), Hospital Melaka, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Hospital Tuanku Fauziah (HTF), St. John Ambulans Malaysia Kawasan Pantai Barat Selatan Atas (PBSA), Suria Sabah Shopping Mall, Hospital Kudat serta Hospital Marudu.
99 Speed Mart merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua penderma darah, rakan strategik, pihak hospital, serta semua pihak yang telah bersama-sama menjayakan Kempen Derma Darah Ke-15 ini.
Semoga usaha murni ini dapat diteruskan demi membantu lebih ramai pesakit dan memberi manfaat kepada masyarakat pada masa akan datang.



















